Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my
HINGGA kini, pelbagai seminar, sesi dialog dan bengkel mengenai hak harta intelek dianjurkan. Namun, masih ramai anak seni tempatan tidak memahami bagaimana untuk melindungi hak mereka.
Sayang sekali sebagai penghibur, artis dan penggiat seni, mereka juga mempunyai hak tersendiri, terutama dalam memastikan semua karya asal mereka selamat dan tidak dicerobohi pihak luar.
Pengerusi Persekutuan Pelakon Antarabangsa (FIA), Tomas Bolme, berkata buat masa ini nampaknya ramai artis mula sedar mengenai perkara itu. Mungkin ia hasil usaha agresif FIA dan Persekutuan Pemuzik Antarabangsa (FIM).
“Kami sering bekerjasama meningkatkan kesedaran mengenai perlindungan harta intelek dan ia mula menunjukkan hasilnya,” katanya pada sidang akhbar, selepas tamatnya bengkel bertajuk ‘Profesional, Sosial dan Hak Harta Intelek Seorang Penghibur: Fokus Terhadap Malaysia’.
Bengkel selama tiga hari bermula pada 19 November lalu, anjuran FIM dan FIA dengan kerjasama Performer and Artistes Rights Malaysia (Prism) dan Majlis Muzik Malaysia (MMM).
Sementara itu, Setiausaha Agung FIA, Dominic Luqner berkata, seminar kali ini yang diadakan di Kuala Lumpur bermula dengan membincangkan banyak perkara merangkumi status sosial seseorang penghibur serta pengiktirafan yang tidak memuaskan dalam melindungi harta intelek.
“Dalam bengkel ini, kami selaku FIA dan FIM sepakat berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan yang mewakili persatuan anak seni di Malaysia.
“Malah, bagi memantapkan seminar ini, kami gembira kerana mendapat bantuan daripada wakil Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) dan Persekutuan Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC),” katanya.
Hadir sama pada majlis sidang media itu ialah Pengerusi Prism, Aziz Bakar; Setiausaha Agung MMM, Ong Peng Chiu; Setiausaha Agung FIM, Benoit Manuel dan Pengerusi FIM, John Smith.
Aziz pula berkata, walaupun diadakan dalam skala yang kecil tetapi seminar itu tetap memberi manfaat besar kepada penggiat seni hiburan tanah air.
“Terutama berkaitan hak sebagai penghibur, kedudukan sosial mereka dalam masyarakat dan mengenai kepentingan melindungi harta intelek masing-masing.
“Kami tetap gembira walaupun hanya 18 pertubuhan menyertai seminar ini daripada 25 yang dijangka turut serta pada mulanya.
“Apapun, yang pentingnya seminar ini dapat diteruskan kerana mendapat sokongan agensi antarabangsa seperti FIA dan FIM,” katanya.
Selain MMM dan Prism, seminar ini turut disertai wakil Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Penyanyi, Penulis Lagu dan Pemuzik Tanah Air (Papita), Persatuan Artis Rakaman India Malaysia (Irim), Akademi Muzik Malaysia (AMM) dan Persatuan Artis Cina Malaysia (Amca).