Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
Gambar oleh Rosela Ismail
JUALAN Amal Selebriti untuk membantu mangsa tsunami yang diadakan di pusat beli belah Mid Valley pada 22 Januari lalu berjaya mengumpul lebih RM17,000 dan hasil kutipan berkenaan disalurkan terus kepada Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy).
Jualan amal anjuran bersama International Malaysian Performing Arts Corp Sdn Bhd (Impac), Metrojaya Berhad dan Performers and Artistes Rights (M) Sdn Bhd (Prism) itu dijayakan artis seperti Fauziah Latiff (Jee), Ziana Zain, Ella, Erra Fazira, Sheila Majid, Soong Ai Ling, Mas Idayu, Jesse Teong dan kumpulan Chakra Sonic.
Pelakon Farouk Hussain pula bertindak sebagai pengacara.
Jee dan Ai Ling sebelum ini pernah mengambil bahagian dalam acara amal serupa yang diadakan di Mont Kiara.
Pada jualan amal yang turut membabitkan Camelia dan model Jaclyn itu, mereka berjaya mengumpulkan derma dengan jumlah yang lebih kurang sama.
Erra Fazira yang menyertainya buat kali pertama berkata, pembabitannya dalam jualan amal itu dilihat sebagai sebahagian cara dia menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Erra sanggup melakukan apa saja demi memberikan sedikit harapan kepada mangsa bencana berkenaan.
“Saya prihatin dan tersentuh dengan nasib malang yang menimpa mangsa bencana itu. Justeru, saya tidak teragak-agak untuk terbabit sama apabila acara amal seperti ini diadakan. Kita tahu matlamat jualan ini adalah untuk kebajikan. Ia satu acara yang bertujuan mulia.
“Lagipun, jika saya ingin mendermakan baju yang saya pakai untuk show atau fotografi kepada mangsa tsunami, memang tidak sesuai. Jadi, apabila ada jualan seperti ini, kita tahu ada orang yang mungkin ingin memiliki pakaian berkenaan untuk majlis makan malam dan sebagainya,” kata Erra yang menjual kalendar eksklusif, kole, pakaian dan beg tangan.
Erra turut meminta orang ramai untuk sama-sama membantu mangsa bencana alam itu, tanpa mengira bangsa dan agama. Dia cukup berbangga apabila rakyat negara ini menunjukkan keprihatinan mereka terhadap penderitaan mangsa tsunami di Aceh, Sri Lanka dan beberapa tempat lain di Asia.
“Hari ini mereka ditimpa malang. Esok lusa, mungkin kita pula menerima nasib yang sama. Jadi, sama-samalah kita membantu mereka,” kata Erra yang tidak putus-putus dikerumuni peminat yang ingin mendapatkan barangannya serta merakam kenangan bersama artis jelita yang popular ini.
Ziana juga tidak ketinggalan menjual barangan peribadinya seperti kasut, beg tangan dan pakaian. Antara koleksinya yang paling menjadi perhatian ialah kasut dan jeans.
Artis yang juga ibu kepada dua anak itu tidak akan melepaskan peluang menyertai acara serupa jika ia diadakan pada masa depan untuk tujuan kebajikan. Kata penyanyi Madah Berhelah ini, masih banyak barangan yang boleh disumbangkannya.
Ratu rock Ella pula berbangga apabila koleksi kemeja-T dan jeans miliknya habis dijual. Turut mendapat sambutan ialah koleksi gaun malamnya serta kasut sukan.
Manakala Mas Idayu mengaku, pakaiannya banyak disambar mereka yang bersaiz kecil. Koleksinya pula terbahagi kepada dua bahagian - koleksi dangdut dan koleksi moden yang sesuai untuk mereka yang gemar berpesta. Ada kalangan peminatnya yang mendapatkan koleksi Mas Idayu sebagai cenderamata.
Kumpulan Chakra Sonic pula melelong cakera padat (CD) mereka dengan harga RM10 setiap satu. Pada hari itu, mereka berjaya menjual hampir semua 50 unit CD yang dibawa ke pusat jualan. Kumpulan yang dianggotai empat anak muda itu berjanji akan terus membabitkan diri dalam kegiatan amal seperti itu sebagai menunaikan sebahagian daripada tanggung jawab sosial mereka.
Di samping menjual barangan peribadi, artis terbabit turut mengutip derma di sekitar pusat beli belah terkemuka pada hari itu.
Usaha yang dilakukan artis dan penganjur jualan amal berkenaan sememangnya patut dipuji. Selain mengelakkan pembaziran, hasil kutipan diserahkan sepenuhnya kepada Mercy untuk membantu mangsa bencana alam berkenaan. Semoga usaha seperti ini terus dilakukan dengan pembabitan lebih ramai selebriti pada masa depan.