BUKAN satu tugas mudah untuk meyakinkan orang supaya membayar royalti kepada pelaku industri muzik iaitu penyanyi dan pemuzik apabila lagu mereka diputarkan di khalayak ramai tetapi itulah yang diperjuangkan Persatuan Penyanyi dan Pemuzik Malaysia (PRISM) sejak ditubuhkan pada 2001.
Ahli Lembaga Pengarah PRISM yang berkhidmat secara sukarela sejak tiga tahun lalu cuba meyakinkan pemilik hotel, pusat hiburan, pusat beli-belah dan stesen penyiaran tanah air mengenai hak pelaku industri muzik sebagaimana hak sama diberi kepada komposer dan pencipta lirik melalui Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Berhad (MACP).
Nyata perjuangan mereka membuahkan hasil apabila buat pertama kali berjaya mengumpulkan RM100,000 bagi pungutan sepanjang 2004 dan diserahkan kepada 250 ahli PRISM yang layak dalam satu majlis baru-baru ini. Setiap artis menerima RM360.
Pengurus Besar PRISM, Ong Peng Chu, berkata pihaknya menghadapi masalah untuk meyakinkan mereka walaupun Akta Hak Pelaku yang diluluskan pada 2000 memberi perlindungan kepada pelaku industri muzik.
Katanya, ramai pihak tidak faham mengenai tanggungjawab mereka untuk membayar hak sama kepada penyanyi dan pemuzik sebagaimana bayaran kepada komposer dan penulis lirik.
“Apabila kami minta, mereka kata sudah bayar kepada MACP tetapi itu royalti untuk komposer dan penulis lirik tetapi perjuangan kami ialah untuk penyanyi dan pemuzik.
“Pelbagai cara kami lakukan seperti memberi potongan harga hingga separuh untuk memastikan mereka bayar. Untuk 2004, kami berjaya mengumpul RM100,000. Selepas ditolak pelbagai kos, bakinya diagihkan sama rata dengan 250 ahli PRISM yang layak.
“Hari ini satu sejarah dicatat apabila buat pertama kali kami mengagihkan kutipan bagi 2004. Sebagai permulaan, bayaran dibuat sama rata kerana kami tiada butir-butir lengkap menentukan berapa yang harus diterima seorang penyanyi.
“Bagaimanapun untuk tahun akan datang, bayaran dibuat mengikut kekerapan lagu mereka diputarkan. Saya tahu ia tidak adil bagi penyanyi popular tetapi itulah kaedah yang digunapakai mana-mana persatuan antarabangsa bagi kutipan tahun pertama.
“Pungutan tahun ini juga kecil kerana hanya bertumpu kepada pengguna muzik di tempat awam dan tidak termasuk stesen radio dan televisyen. Buat masa ini Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) bersetuju akan membayar manakala stesen lain menunggu reaksi RTM.
“Jika kutipan meliputi stesen penyiaran, kami yakin jumlah kutipan lebih besar seperti MACP mencatat kutipan RM7 juta manakala Public Performance (M) Sdn Bhd (PPM) mencatat RM10 juta tahun lalu.
“Saya bangga dengan sokongan artis tanah air yang datang beramai-ramai pada majlis ini untuk menerima imbuhan pertama ini walaupun hanya kecil. Hampir semua 250 artis Melayu, Cina dan India yang layak datang pada hari ini,” katanya.
Antara penyanyi yang hadir ialah Tan Sri SM Salim, Datuk M Daud Kilau, Dhalan Zainuddin, Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Liza Hanim, Ajai, Awie, Achik Spin, Ramli Sarip, KRU, Siti Sarah, New Boyz, Exists, XPDC dan ramai lagi manakala pemuzik ialah Zul Mahat, Gary Gideon dan Aznan.
Mereka menerima royalti daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal. Turut hadir ialah Pengerusi PRISM, Aziz Bakar dan Pengerusi Majlis Muzik Malaysia, Datuk A Rahman Hassan.
Aziz berkata, pihaknya bangga kerana perjuangan PRISM sejak 2001 untuk memungut dan mengagihkan royalti pelaku industri muzik dapat direalisasikan.
Katanya, PRISM kini mempunyai 500 ahli berdaftar tetapi hanya 250 artis yang layak menerima royalti untuk kutipan sepanjang 2004 manakala bakinya masih belum memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
“Ada bertanya saya mengapa penyanyi itu dan penyanyi ini tidak terima royalti. Jawapan saya ialah mereka bukan ahli PRISM. Masih ada artis yang tidak yakin dengan perjuangan PRISM dan belum menjadi ahli.
“Bagaimanapun apabila mendengar PRISM akan membuat bayaran, ramai yang tampil mengisi borang untuk menjadi ahli. Mereka tidak perlu bayar apa-apa untuk jadi ahli hanya isi borang dan kami akan pungut royalti bagi pihak mereka.
Ia adalah perjuangan A Rahman Hassan dan beberapa penggiat persatuan industri muzik tanah air yang mula-mula menyuarakan keperluan artis dilindungi di bawah Akta Hak Pelaku sejak 1988,” katanya.